Tuesday, April 23, 2019


Profil Usahawan Pilihan


FAIZA BAWUMI SYED AHMAD
Pengarah Urusan Faiza Sdn Bhd
Alamat
:
PLO 442, Jln Wawasan 16,
Kawasan Industri Sri Gading 2,
83300 Batu Pahat,
Johor.
Tel
:
07-4556900
Faks
:
03-4557800
E-mel
:
Laman Web
:

 Latarbelakang Usahawan
Faiza Bawumi Sayed Ahmad adalah pemilik syarikat pemborong beras Syarikat Faiza Sdn. Bhd. pada tahun 1964, wanita kelahiran Mesir berkelulusan diploma jahitan ini telah berhijrah ke Malaysia kerana mengikut suaminya.  Pada ketika itu, beliau mampu menguasai Bahasa Melayu dan fasih berbahasa Melayu setelah hanya tiga bulan di Malaysia kerana sifat beliau yang peramah dan suka bergaul dengan jiran jirannya. Meskipun  sudah berusia lingkungan 60an, beliau yang mempunyai tujuh orang anak dan juga seorang nenek kepada 32 cucu sibuk masih giat merancang strategi bagi mengukuhkan kedudukannya dalam pelbagai cabang perniagaan di negara ini. Wanita yang berperwatakan lembut itu sebenarnya seorang yang tegas. Beliau mahu memastikan syarikat yang ditubuhkan perlu berada di landasan betul sekali gus mencatatkan keuntungan saban tahun. Puan Faiza yang memangnya dilahirkan dalam keluarga yang juga bergiat dalam perniagaan. Berkecimpung dalam bidang perniagaan sejak kecil, beliau pernah menjadi juruwang di kedai milik bapanya. Pengalaman tersebut mendorong beliau untuk bergiat secara serius dalam bidang perniagaan.

Beliau bermula dengan mengambil upah menjahit sulaman dengan modal RM4 dan menjual pelbagai barangan dapur. Beliau juga membeli kain ela dan membuat baju gaun untuk anak-anak kecil jiran-jirannya. Kemudian beliau menghasilkan set sarung bantal. Hasil jahitannya yang cantik dan kemas dijual kepada kawan-kawannya. Seterusnya, beliau berniaga set ensiklopedia, diikuti bisnes pinggan mangkuk. Melalui bisnes kecil kecilan ini, beliau menabung wang bagi menjadikan modal bisnes seterusnya.
Beliau berminat pula menghasilkan rempah kari. Beliau membeli pelbagai rempah ratus seperti ketumbar, jintan, halba, cili kering, cengkih dan sebagainya untuk membancuh ramuan-ramuan tersebut bagi menghasilkan rempah kari ikan dan daging di bawah jenama Bunga Raya. Semuanya dilakukan sendiri di rumah, daripada mencuci, menjemur dan menggoreng rempah ratus tersebut. Kemudian, beliau menghantarnya ke kedai bagi dikisar dan diedarkan.


Selang beberapa tahun kemudian, Puan Faiza membeli pula sebuah mesin pengisar dan membuka kedai runcit dengan modal daripada menjual rempah kari itu. Dari situ beliau mendapati bahawa pemborong beras kebanyakannya dibekalkan oleh kaum lain. Beliau mula belajar pelbagai jenis beras. Puan Faiza memohon lesen pemborong beras dan menjual pelbagai jenis beras termasuk ponni, basmathi, beras wangi serta beras Siam setelah mendapat maklumbalas positif atas usaha selidik beliau pergi dari satu kedai ke satu kedai bagi mendapatkan respon sama ada mereka akan membeli berasnya jika beliau menjualnya. Para pelanggan yang melanggan rempah-rempah beliau turut membeli beras daripadanya.



Puan Faiza bukan sahaja menjadi Pengarah Urusan Syarikat Faiza, tetapi turut bertungkus-lumus menentukan operasi syarikat berjalan lancar dan turut terlibat dalam projek kilang milik Syarikat Faiza bernilai RM14 juta di Sri Gading, Batu Pahat. Kejayaan beliau sekarang bukan diperolehi dengan mudah, tetapi setelah mengharungi segala cabaran selama 43 tahun berkecimpung dalam dunia perniagaan.Puan Faizah berkata semua usaha yang dilakukan itu bukanlah untuk mengumpulkan kekayaan sebaliknya untuk menjadi pembayar zakat terbesar di Malaysia sekali gus membantu lebih ramai orang yang susah.
Produk Faiza
Faiza bermula dengan perniagaan beras dan kemudian mengembangkan sayapnya kepada pelbagai jenis produk-produk pemakanan lain seperti serbuk rempah kari, serbuk rempah beriani, serbuk rempah bukhari, serbuk santan, bubur herba, garam, ketupat segera, kicap, air mineral, tepung gandum, madu import dan mihun segera.

  Perniagaan beliau mendapat sambutan walaupun mendapat persaingan yang agak sengit. Pada awal tahun 90an, syarikat telah mengambil peluang 

ke atas kepekaan masyarakat pada ketika itu kepada cara pembuatan dan kandungan makanan. Syarikat mula memperkenalkan dengan sejenis kategori beras berkualiti dari Kartanaka, India. Beras ini adalah jenis beras “Ponni”.  Menerusi produk berkualiti dan berkhasiat sesuai untuk pesakit seperti pesakit diabetis, SFSB memperkenalkan beras  “Ponni” ini ke seluruh Malaysia.



Syarikat beliau kini telah dikenali kerana kualiti produk yang tinggi, seratus peratus buatan Islam dan halal. Beliau berharap dengan penglibatan dalam penghasilan produk tersebut ia memberi pilihan kepada orang Islam untuk mendapatkan produk yang bermutu tinggi dan tanpa was-was meragui status halalnya.


Pencapaian & Anugerah


Syarikat Faiza telah menerima pelbagai anugerah termasuk pemborong terbaik pada tahun 2000, anugerah kecemerlangan operasi Padiberas Nasional Berhad (Bernas) pada 2001 dan dan anugerah emas bagi beras Taj Mahal oleh Reader's Digest Super Brand.

Walaupun sibuk menjalankan perniagaan, Puan Faiza tetap meluangkan masa untuk melakukan kerja amal termasuk memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Pemborong Beras Bumiputera Malaysia, Pengerusi Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Batu Pahat, Anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Batu Pahat (Pengerusi Biro Kebajikan) dan ahli lembaga pelawat Hospital Batu Pahat serta pemegang amanah anak yatim Batu Pahat.
Beliau juga pernah memenangi pelbagai anugerah termasuk Wanita Anggun 2005, Tokoh Ibu Mithali Perkim 2007, Wanita Nadi Negara peringkat Johor 2007, anugerah khas Tokoh Guru 2009 dan tokoh Maulidur Rasul peringkat kebangsaan tahun 2010.






Perancangan Strategi Pertumbuhan & Pengembangan

Puan Faiza kini juga meneroka bidang baru termasuk memasarkan bihun, sos cili dan kicap selain dari beras dan rempah. Bagi produk bihun pula, syarikatnya telah menempah mesin dari China dan produk itu akan diproses di sebuah kilang lain juga di Sri Gading. Kilang tersebut mampu mengeluarkan sebanyak sembilan tan bihun sehari, namun pada peringkat awal cuma memproses lima tan bihun dengan sasaran jualan sebanyak RM12 juta bagi tahun pertama. Puan Faiza sentiasa memandang ke hadapan untuk teknik-teknik lebih baik, cara lebih baik menjanakan, menyampaikan, berkomunikasi, menggalakkan, untuk memberi khidmat, menjual. Puan Faiza percaya yang kejayaan boleh dicapai daripada apa yang dibuat dengan penuh kesungguhan.


Sumbangan

Kesenangan yang ada perlu dikongsi bersama dengan mereka yang memerlukan,terutama golongan miskin dan ibu tunggal, kata Faiza Bawumi Sayed Ahmad, tokoh Maulidur Rasul peringkat kebangsaan tahun ini.

Faiza, yang merupakan Pengarah Urusan Syarikat Faiza Sdn Bhd, yang sinonim dengan program realiti televisyen swasta tempatan yang berbentuk amal “Bersamamu” kerana syarikat itu merupakan penaja utama rancangan tersebut, berkata hasratnya kini adalah untuk menubuhkan Yayasan Faiza bagi membantu golongan tersebut.

“Pengalaman turun padang mendekati kehidupan golongan susah dan ibu tunggal membuatkan saya berhasrat untuk menubuhkan Yayasan Faiza satu hari nanti bagi menguruskan hal kebajikan dan sumbangan kepada orang ramai.

“Niat saya hanya satu, iaitu tujuan saya berniaga bukan untuk kekayaan diri sendiri, tetapi untuk membantu orang lain terutama golongan miskin dan ibu tunggal menikmati kehidupan yang baik,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Faiza juga turut menyarankan umat Islam di negara ini supaya hidup bersatu padu supaya tidak mudah ditindas oleh bangsa lain, dan hubungan yang kukuh sesama umat Islam bukan sahaja mampu memajukan masyarakat Islam di negara ini, malah mampu meningkatkan kedudukan ekonomi masyarakat tersebut.

“Kita kena bersatu supaya tiada sesiapa dapat pecah-belahkan kita. Bila kita lemah, kita kena tindas. Ibarat lidi, bila ia satu, maka ia mudah dipatahkan tetapi apabila ia banyak, maka tidak dapat dipatahkan dengan mudah,” kata anak kelahiran Mesir yang berhijrah ke Malaysia mengikuti suaminya Allahyarham Abu Bakar Ahmad yang merupakan rakyat Malaysia pada tahun 1964.

Faiza, 68, berkata  semua masyarakat Islam juga perlu mengamalkan cara hidup dengan berpegang kepada ajaran Al-Qur’an, dan bersikap sentiasa senang hati apabila melihat kesenangan orang lain, dan bukannya berperasaan iri hati serta berhasad dengi apabila melihat kejayaan orang lain.

Faiza berkata pengalamannya berniaga, termasuk berurusan dengan bangsa lain membuka mindanya untuk menyedarkan masyarakat Islam khususnya orang Melayu betapa perlunya mengamalkan sikap tolong-menolong antara satu sama lain seperti yang diamalkan bangsa lain.

“Pernah seorang peniaga bukan Melayu meminta saya berfikir antara dua jenis ketam iaitu ketam Melayu dan ketam bukan Melayu. Mulanya saya tidak faham apa yang dimaksudkannya dengan dua jenis itu sehinggalah peniaga itu kemudian menjelaskan bahawa ketam Melayu akan menarik kawannya jatuh ke bawah ketika berjalan mendaki bukit, manakala ketam bukan Melayu pula akan menolong kawan-kawannya,” katanya.


Idola peribadi

Ibu kepada tujuh orang anak dan mempunyai 32 orang cucu itu juga berharap masyarakat Islam sentiasa mencontohi keperibadian Nabi Muhammad S.A.W dalam menjalankan kehidupan seharian, terutama amanah dan gigihnya Baginda Rasullulah dalam menjalankan perniagaan serta dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin.

Faiza mengamalkan solat sunat tahajjud, solat sunat dhuha dan membaca Surah AlWaqiah hampir setiap hari sebagai ikhtiar untuk sentiasa mendapat keberkatan dan kemurahan rezeki dalam perniagaan.
Kisah kejayaan syarikat Faiza diharapkan menjadi inspirasi dalam apa bidang sekali pun, niat yang murni dengan usaha yang tidak mengenal jemu akan menghasilkan kejayaan.

Kejayaan juga tidak datang bergolek dan tidak ada jalan mudah untuk mencapai kejayaan sebenarnya. Seperti pepatah melayu, tidak dapat sagu jika tidak dipecahkan ruyungnya. Setelah melakukan usaha, seharusnya diiringi dengan berdoa dan bertawakal



Rujukan:











No comments:

Post a Comment